Lewat sikit nak kemaskini ruangan “Langit Minggu Ini”. Apa pun fenomena langit tak menunggu kita, ia tetap berjalan seperti biasa. Selepas qiam dan tahajjud tu, jenguk-jenguk lah sekejap ke langit tu. Bulan mula semakin kecil, Ramadan dah pun semakin meninggalkan kita!
27 Mei (Isnin)
Bulan memasuki Fasa Sukuan Akhir pada jam 12:34 AM. Kalau kita ingat semalam, ia berada pada poin apogee, yakni paling jauh dari Bumi. Maka pada pagi ini kalau kita tengok Bulan, ia kelihatan kecil berbanding biasa.
28 Mei (Selasa)
Matahari melintasi di atas Kaabah, di dalam satu fenomena yang dipanggil sebagai Istiwa’ adzam. Ia berlaku pada jam 5:16 petang waktu Malaysia. Pada ketika ini kita boleh menyemak kembali tandaan arah kiblat kita di premis masing-masing.
Video di atas boleh dijadikan panduan asas untuk mencari arah kiblat pada tarikh ini. Jika anda terlepas.. tak mengapa. Tunggu 16 Julai nanti, matahari akan sekali lagi melintas di atas Kaabah dan kita boleh cuba sekali lagi.
1 Jun (Sabtu)
Bulan sabit tua semakin rendah di ufuk timur. Ia terbit sekitar Subuh. Sekali lagi kita akan dapat lihat fenomena Eartshine yang indah.
Sekitar 30-45 minit selepas Subuh, cuba cari juga planet Zuhrah yang kini amat rendah. Planet ini akan berada sebelah bawah kiri dari Bulan.
Bulan sabit tua dan planet Zuhrah, boleh dilihat sekitar 30-45 minit selepas Subuh.
2 Jun (Ahad)
Zuhrah akan berada 4 darjah dari Bulan. Ini agak mencabar kerana ia sangat rendah dan waktu ia terbit pun selepas Subuh. Jika anda mempunyai ufuk timur yang tiada halangan, boleh cuba tengok sekitar 30 minit selepas Subuh.
Menjelang 1 jam selepas Subuh, kedua-dua objek ini dah semakin tinggi tetapi langit dah makin terang, maka ia agak mencabar nak tengok.
Anda mungkin telah membaca berita mengenainya dan mungkin tertanya-tanya, apakah sebenarnya isu mengenai satelit Starlink ini.
Ini kisahnya.
Pada hujung minggu lepas, SpaceX, syarikat kepunyaan orang kaya Elon Musk, telah melancarkan sekumpulan satelit-satelit kecil bernama Starlink. Satelit ini bertujuan untuk meluaskan lagi capaian internet ke seluruh dunia. Satu usaha yang menarik jika kita lihatnya daripada sudut perkembangan teknologi.
Namun, setelah satelit-satelit ini (60 buah kesemuanya) dilancarkan dan mula masuk ke dalam orbit, beberapa laporan awal daripada peminat astronomi amatur serta peminat satelit telah menunjukkan cahaya yang dipantulkan oleh satelit ini ke Bumi amat cerah!. Malah apabila ia muncul di langit, ia kelihatan seperti satu deretan cahaya, atau light train, yang bergerak merentasi langit dari ufuk ke ufuk. Sebelum ini tiada siapa pun mengagak betapa cerahnya satelit-satelit ini yang akan dilihat, tetapi setelah ia dilihat sendiri oleh puluhan pencerap langit, tiba-tiba ia menjadi satu isu yang besar.
Ramai yang meluahkan kerisauan dengan mengatakan cahaya terang ini akan mengganggu kemampuan kita melihat objek-objek serta mempunyai impak yang besar terhadap kajian astronomi yang menggunakan teleskop dari Bumi (earth-based observatories).
Cuba lihat sendiri video yang dirakam oleh Dr. Marco Langbroek ini!
Kalau tak silap, ini merupakan video pertama yang berjaya merakam deretan cahaya daripada Starlink. Selepas itu, semakin ramai pencerap langit mula berjaya menjejaki pergerakan satelit-satelit ini dan merakamnya.
Pete Lawrence merakam Starlink yang berubah-ubah kecerahan hasil sudut pantulan cahaya matahari yang sentiasa berubah ketika satelit ini bergerak dalam orbit.
Buat pengetahuan semua, di sekeliling Bumi kita sekarang ini pun sudah ada lebih kurang 5000 buah satelit, dan 2000 daripadanya masih berfungsi. Namun majoritinya kelam dan susah dilihat dengan mata. Hanya yang terang-terang seperti ISS, Tiangong-2 dan teleskop Hubble sahaja yang boleh dilihat dengan mata kasar dengan mudah.
Jumlah yang besar ini akan memberi masalah kepada proses pengimejan objek-objek di langit. Menurut Darren Baskill, pegawai dari University of Sussex, “Kebarangkalian satelit-satelit ini merentasi medan penglihatan teleskop akan semakin kerap berlaku dan akan mencemarkan pandangan kita terhadap alam semesta”. Ujar beliau lagi “proses untuk membuang cahaya daripada satelit ini akan mencari semakin sukar!”
Saya cuba jelaskan sedikit berdasarkan pengalaman saya. Untuk merakam objek angkasa di langit waktu malam, kita perlu tetapkan waktu dedahan pada kamera-kamera dalam satu jangka waktu yang panjang, contoh 3 minit, 5 minit atau mungkin berjam-jam, untuk satu-satu kawasan di langit. Sebelum ini, dalam foto-foto yang dirakam, ada kelihatan banyak garis-garis halus yang merentasi foto ini. Garis ini sebenarnya ialah satelit-satelit yang kebetulan bergerak di dalam medan pandangan kamera itu.
Itu baru sedikit. Jika SpaceX melancarkan kesemua 12,000 buah satelit yang halus-halus, bayangkanlah betapa teruknya gambar yang akan dirakamkan itu nanti!
Purely by chance, our educator @GirgisVictoria caught this image of the StarLink satellite streaks on the sky Saturday evening @LowellObs. I am working with @kwkuehn of our staff, and with @AAS_Policy to explore impacts to astronomy and prepare a statement. Stay tuned. pic.twitter.com/xtDdfQGb2L
Buat masa ini, respon Elon Musk mengenai potensi pencemaran yang mungkin dihasilkan oleh Starlink sungguh kebudak-budakan! ^(*$&#(*&*#
There are already 4900 satellites in orbit, which people notice ~0% of the time. Starlink won’t be seen by anyone unless looking very carefully & will have ~0% impact on advancements in astronomy. We need to move telelscopes to orbit anyway. Atmospheric attenuation is terrible. pic.twitter.com/OuWYfNmw0D
Kalau ikut logik orang kaya Elon Musk ni, kita perlu letak lebih banyak teleskop di dalam orbit! Kalaulah senang sangat nak buat macam tu, maknanya sekarang ni dah berpuluh-puluh teleskop yang ada di atas sana! Realitinya tidak begitu!
Penentangan terhadap amukan kominiti sains dan astronomi amatur dunia mengenai isu ini bukan sahaja datang daripada Elon Musk, tetapi ada ramai peminat atau penyokong beliau yang membela usaha ini atas nama ‘kemajuan dan kesejahteraan manusia’.
Saya sendiri sebagai pencerap tegar langit mengakui agak risau dengan kehadiran cahaya-cahaya merapu ini.
Namun, sehingga hari ini belum ada kajian menyeluruh mengenai kesan cahaya yang dibuat oleh 12,000 buah satelit! Ini kali pertama dalam sejarah kita berdepan dengan isu ini. Isu baru!
Apabila artikel ini ditulis, deretan cahaya Starlink semakin pudar. Satelit-satelit ini sudah mula masuk ke dalam orbit yang lebih tinggi. Lebih tinggi bermaksud lebih jauh dari Bumi, dan lebih kelam cahaya matahari yang dipantul oleh satelit-satelit ini.
Sejauh mana kelam atau terang nanti, tiada siapa yang boleh mengagak setakat ini. Jika anda berminat untuk mengejar atau menjejaki pergerakan Starlink, serta nak tahu tarikh dan waktu apabila ia melintasi langit Malaysia, boleh cuba lakukan kiraan di laman web seperti Heavens-Above.com dan N2YO.com
Jika anda berminat untuk mengetahui respon dan perbincangan lebih terperinci dari komuniti astronomi profesional dan amatur, saya syorkan pautan #starlink atau #starlinktrain
Setiap tahun, Bumi akan bergerak di antara Matahari dan Musytari. Pada ketika ini, planet Musytari akan berada di dalam kedudukan di langit yang dikenali sebagai istiqbal atau dalam bahasa Inggeris, opposition.
Pada tahun ini, pada jam 11:14 malam, 10 Jun 2019, Musytari akan kembali berada pada kedudukan unik ini. Istiqbal bermaksud pada saat tersebut, sesebuah planet (dalam kes ini Musytari) akan berada bersetentang dengan Matahari apabila dilihat dari langit Bumi.
Kedudukan istiqbal atau bersetentang yang sedang berlaku terhadap planet Musytari sekarang.
Secara ringkasnya, apabila Matahari terbenam pada waktu Maghrib, Musytari akan terbit di sebelah timur.
Momen begini sering ditunggu-tunggu oleh peminat astronomi seluruh dunia. Musytari akan kelihatan paling terang dan besar di langit. Malah, jika anda pandang ke arah langit sebelah timur selepas waktu Maghrib, planet gergasi ini akan kelihatan seperti sebutir ‘bintang’ yang amat terang dan memancar-mancar.
Malah, kecerahannya kini (magnitud -2.6) mengatasi bintang tercerah di langit, iaitu Sirius. Dari segi turutan, Musytari sekarang ialah objek ke-4 paling cerah di langit, selepas Matahari, Bulan dan Zuhrah. Hampir mustahil anda akan ‘terlepas pandang’ planet ini di langit.
Menerusi binokular, jika anda memegangnya dengan kekal dan tak bergoyang-goyang, serta menggunakan binokular sekurang-kurangnya berkuasa pembesaran 7X, anda akan dapat lihat 4 buah titik atau bintang kecil yang berada sederet di sisi bertentangan planet ini.
Titik-titik kecil di sisi Musytari itu sebenarnya ialah bulan-bulannya. @shahgazer
Titik-titil kecil itu ialah bulan-bulan paling cerah kepunyaaan planet Musytari. Nama yang diberi ialah Io, Europa, Ganymede dan Callisto.
Keempat-empat bulan ini lebih besar daripada Bulan kita. Pergerakkan amat laju dan boleh dilihat berubah dengan jelas jika anda memerhatikannya selama beberapa jam.
Apabila anda menggunakan teleskop, barulah dapat lihat beberapa ciri menarik di atas permukaan planet Musytari.
Sebelum itu, kita harus ingat, Musytari sebenarnya tidak mempunyai permukaan keras atau tanah seperti Bumi. Ia adalah sebuah planet yang dibentuk oleh pusaran gas sahaja. Yang kita lihat menerusi teleskop itu nanti ialah lapisan-lapisan awannya.
Ok, menerusi teleskop, anda akan dapat lihat permukaannya dipenuhi dengan jalur-jalur yang pelbagai warna dan saiz. Jalur-jalur ini ialah kawasan awan-awan di sana yang bergerak begitu laju. Cerapan yang dibuat sebelum ini telah berjaya merekod angin yang bertiup selaju 300 hingga 650 km sejam!
Antara foto Musytari yang paling jelas berjaya dirakam oleh penulis setakat ini. @shahgazer
Jalur-jalur ini jika dicerap menerusi teleskop lebih besar dan kamera yang sesuai, akan kelihatan berserabut yang jalur-jalur yang berpusing-pusing sana sini. Namun, disebalik ‘keserabutan’ jalur awan ini, ia kelihatan tersusun dengan baik sekali. Malah, kawasan jalur-jalur ini telah pun diberi nama sebagai panduan dan kajian.
Gambarajah panduan mengenali kawasan atau zon jalur-jalur di Musytari. Kredit S&T.
Salah satu bentuk unik di Musytari ialah satu pusaran besar berwarna merah, yang kelihatan seperti mata. Pusaran itu diberi nama The Great Red Spot (GRS). Ia merupakan satu sistem siklon gergasi yang paling besar di kalangan sistem siklon lain yang ada di planet ini.
GRS amat besar dan mudah dilihat menerusi teleskop. Kini warnanya menjadi merah coklat yang pekat. Dipercayai kali pertama ia dicerap dan direkod oleh seorang ahli astronom amatur Jerman, Heinrich Schwabe pada tahun 1831. Malah ia mungkin juga bentuk yang sama dilihat seawal tahun 1665 oleh seorang pemerhati langit dari Itali, Domenico Cassini yang dicatatkan sebagai ‘permanent spot’ oleh beliau.
Pada awal GRS dicerap, saiznya amat besar iaitu 3 kali ganda diameter Bumi. Namun, atas sebab-sebab yang masih belum diketahui puncanya, GRS ini mengecil dan mempunyai diameter sama dengan Bumi.
Lebih misteri ialah beberapa minggu lepas, kelihatan seperti seolah-olah pusaran GRS ini terungkai atau terburai sedikit demi sedikit. Saintis masih belum tahu bagaimana pusaran siklon di Musytari terbentuk dan berfungsi. Ada yang mengatakan GRS ini tak lama bagi bakal hilang lenyap ditelan pusaran awan-awan lain di sekelilingnya.
With better seeing this morning 23rd May 2019 21:38 UTC, I can confirmed Jupiter's GRS was out of shape! The large flake circling GRS has thicken slightly. Flickr is still down so I will upload the link later.#universetoday#photographingspace#earthskypic.twitter.com/WjuKI4u714
Jika benar, Musytari bakal hilang mercu tanda ikoniknya! Kesian!
(Foto di atas di rakam oleh saya pada 23 Mei 2019 lepas)
Menerusi teleskop juga, jika bernasib baik atau merancang dengan baik, kita akan dapat lihat bulan-bulan Musytari melintasi di hadapan cakera planet itu. Fenomena ini dikenali sebagai transit dan waktu kejadian transit ini boleh dikira dengan mudah.
Musytari kini berada di antara buruj Scorpius dan Sagittarius. Ia berada pada poin yang agak ke selatan. Malang bagi pencerap di hemisfera utara kerana kedudukan yang ke selatan ini menyebabkan planet ini tidak berada tinggi di langit. Kita di Malaysia bernasib baik kerana kedudukan di khatulistiwa membolehkan planet Musytari berada tinggi di langit dan dapat dilihat dengan lebih jelas.
Kedudukan Musytari yang akan kelihatan sepeti sebutir bintang terang sekitar waktu Isya di langit sebelah timur sekarang ini.
Planet Musytari di sepanjang pengalaman saya mencerap dan merakamnya selama ini tidak pernah mengecewakan. Ia sungguh dinamik dan saya sentiasa ternanti-nanti apakah perubahan facial yang akan berlaku! Saya amat mengsyorkan bagi anda untuk teruskan cerapan dan pengamatan terhadap planet ini. Ia akan berada tinggi, terang dan jelas selama 3-4 bulan mendatang.
Ikuti akaun twitter peribadi saya untuk mendapatkan rakaman astrofoto terkini planet Musytari dari semasa ke semasa, dan jika anda ada merakamnya sendiri, kongsikan dan InsyaAllah saya akan raikan bersama-sama dengan komuniti astronomi lain.
Pada awal pagi, 17 Julai 2019 nanti kita berpeluang menyaksikan sekali lagi fenomena Gerhana Bulan Separa. Kali terakhir kita dapat menyaksikan gerhana bulan menghiasi langit Malaysia ialah setahun yang lalu, iaitu pada Julai 2018.
Gerhana Bulan Separa yang dirakam pada 31 Jan 2018. @shahgazer
Gerhana Bulan berlaku apabila Bulan memasuki kawasan bayang-bayang Bumi. Namun tidak semua gerhana ini berlaku dalam bentuk yang sama. Perbezaannya bergantung kepada kawasan bayang-bayang Bumi yang mana satu, yang sedang dilalui oleh Bulan.
Bayang-bayang Bumi ada 2 kawasan yang dikenali sebagai umbra (paling gelap) dan penumbra (kurang gelap).
Posisi Bulan yang sedikit ‘ke atas’ dari satah Matahari dan Bumi, menyebabkan hanya sebahagian sahaja yang akan terlindung dan memasuki kawasan bayang-bayang umbra Bumi. Kredit timeanddate.com
Orbit Bulan pula senget 5 darjah daripada satah orbit Bumi dan Matahari. Kesannya ialah, walaupun setiap bulan, Bulan akan berada segaris dengan Bumi dan Matahari, tetapi ada kalanya ia berada sedikit ke atas atau ke bawah daripada orbit Bumi. Jika ini berlaku, tiada fenomena gerhana akan berlaku.
Kali ini, Bulan akan kembali masuk ke kawasan bayang-bayang Bumi, tetapi disebabkan hanya sebahagian jasadnya sahaja yang akan masuk ke kawasan umbra, maka ia tidak akan gelap sepenuhnya. Justeru ia dipanggil sebagai Gerhana Bulan Separa.
Fasa Gerhana
Menurut Fred Espanak, waktu-waktu penting fasa gerhana ini adalah seperti di bawah. Saya telah menukar waktunya kepada waktu Malaysia atau mana-mana negara yang berbeza 8 jam dari waktu greenwich.
P1 – Fasa penumbra bermula (mula masuk ke dalam penumbra) – 2:43 am 17 Julai 2019
U1 – Fasa separa bermula (mula masuk dalam umbra) – 4:01 am 17 Julai 2019
Kemuncak Gerhana – 5:30 am 17 Julai 2019
U4 – Fasa separa tamat (keluar sepenuhnya dari umbra) – 6:59 am 17 Julai 2019
P4 – Fasa penumbra tamat (keluar sepenuhnya dari penumbra) – 8:17 am 17 Julai 2019
Berdasarkan waktu-waktu di atas, secara amnya hampir keseluruhan fasa Gerhana Bulan Separa dapat dilihat di seluruh Semenjung Malaysia. Cuma anda di Sabah dan Sarawak akan terlepas peluang untuk melihat fasa ketika Bulan mula keluar daripada kawasan umbra selepas kemuncak gerhana.
Animasi GIF menunjukkan laluan Bulan merentasi bayang-bayang Bumi.
Selain Malaysia, gerhana ini dapat dilihat di Australia, hampir keseluruhan Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan.
Peta kawasan dunia yang dapat menyaksikan fenomena ini. Sumber.
Apa yang akan dapat dilihat?
Berikut adalah beberapa poin penting ketika melihat gerhana ini nanti.
Gerhana Bulan Separa akan menyebabkan hanya sebahagian Bulan sahaja menjadi gelap.
Bulan tidak akan menjadi kemerahan seperti Gerhana Bulan Penuh. Kita hanya dapat lihat bahagian putih terang dan gelap sahaja.
Fasa kemuncak Gerhana Bulan Separa pada jam 5:30 pagi, 17 Julai 2019.
Jangan keliru dengan paparan daripada aplikasi astronomi yang ada. Kebanyakkannya akan memaparkan warna merah pada bahagian gerhana tu. Hakikatnya jika kita lihat dengan mata kasar, ia tetap hitam.
Fasa Gerhana Bulan Separa yang dirakam oleh penulis pada 2017 yang lalu. @shahgazer
Foto di atas dirakam pada 2017. Berdasarkan simulasi SkySafari 6 Pro, saya jangkakan bahagian umbra (gelap) ketika kemuncak gerhana ini nanti akan lebih besar/banyak berbanding kejadian 2017 yang lepas.
Ton warna kemerahan yang dirakam menerusi kamera, sebelum fasa gerhana bulan penuh yang berlaku pada Julai 2018 lepas. @shahgazer
Apabila diperiksa kembali foto-foto gerhana yang dirakam pada tahun lepas, saya dapati ton kesan warna kemerahan masih boleh dilihat tetapi hanya menerusi kamera sahaja. Foto di atas dirakam apabila saya menetapkan waktu dedahan yang agak lama. Bahagian Bulan yang terang akan kelihatan overexposed tetapi bahagian gelapnya akan dapat dilihat lebih jelas dan ton kemerahan itu dapat dirakam.
Seingat saya, ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Oleh itu, saya syorkan bagi anda yang memiliki kamera DSLR, boleh cuba bermain-main dengan waktu dedahan bagi menampakkan warna itu.
Fakta lain ketika berlaku Gerhana Bulan Separa kali ini.
Ia akan berlaku 2 minggu SELEPAS Gerhana Matahari Penuh yang akan dapat dilihat di Amerika Selatan pada 2 Julai 2019.
Ia akan berlaku 5 bulan SEBELUM Gerhana Matahari Cincin yang akan dapat dilihat di Malaysia pada 26 Disember 2019 nanti.
Planet Zuhal akan berada di sebelah bawah Bulan, manakala Musytari sedang terbenam di ufuk barat.
Bulan akan berada di dalam kawasan buruj Sagittarius, berhampiran dengan lingkaran Bima Sakti.
Pluto berada hampir dengn Bulan, tetapi memerlukan teleskop yang besar untuk melihatnya. Mata kasar tak nampak.
Ia berlaku awal hari Rabu. esoknya kerja. Jangan ponteng kerja!
Kawasan di mana yang akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari nanti. Hanya pencerap yang berada di dalam garisan merah itu sahaja yang berpeluang menyaksikan fasa Gerhana Matahari Penuh. Sumber.
Lebih kurang 2 minggu sebelum kita menyaksikan Gerhana Bulan Separa, kita akan dapat menyaksikan terlebih dahulu fenomena Gerhana Matahari Penuh yang akan melintasi Lautan Pasifik, Chile dan Argentina pada awal pagi 3 Julai 2019 waktu Malaysia. Sebahagian besar negara Amerika Selatan akan turut dapat menyaksikan fasa Gerhana Separa juga.
Perjalanan yang agak jauh dan kos yang tinggi ini tidak memungkinkan saya pergi ke sana, walaupun angan-angannya tetap ada. Saya ada coretkan sedikit pengalaman saya menjejaki fenomena Gerhana Matahari Penuh di Amerika Syarikat dan Australia sebelum ini.
Fasa Gerhana Matahari Penuh yang berjaya dirakam oleh penulis ketika ekspedisi di Amerika Syarikat pada tahun 2017 lalu. @shahgazer
Bagi fenomena awal pagi Rabu ini, kita yang berada jauh dari kawasan gerhana tetap berpeluang menyaksikan momen ia berlaku menerusi pelbagai live strim yang disediakan pada hujung artikel ini.
Secara amnya, waktu fasa-fasa penting gerhana ini, dalam waktu Malaysia, telah dikira oleh laman web timeanddate.com seperti berikut:
Event
UTC Time
Time in Kuala Lumpur*
First location to see the partial eclipse begin
2 Jul, 16:55:13
3 Jul, 00:55:13
First location to see the full eclipse begin
2 Jul, 18:01:08
3 Jul, 02:01:08
Maximum Eclipse
2 Jul, 19:22:57
3 Jul, 03:22:57
Last location to see the full eclipse end
2 Jul, 20:44:46
3 Jul, 04:44:46
Last location to see the partial eclipse end
2 Jul, 21:50:34
3 Jul, 05:50:34
Waktu di atas tidak spesifik kepada bandar tertentu d Amerika Selatan, kerana bayang-bayang Bulan ini sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan pantasnya. Yang penting di sini ialah kita dapat anggaran waktu untuk menyaksikan menerusi live strim di internet.
Kalau dilihat di sini, waktu puncak Gerhana Matahari Penuh akan berlaku pada jam 3:22 PAGI, hari Rabu 3 Julai 2019 waktu Malaysia!
Chile ialah sebuah negara yang memiliki kawasan langit paling cantik dan bebas dari awan di dunia. Satu perkara yang menarik untuk gerhana kali ini ialah ia akan melintas tepat di salah sebuah balaicerap kepunyaan European Space Agency, iaitu La Silla Observatory! Sudah pasti pemandangannya nanti amat-amat menarik!
Lakaran artis yang menunjukkan pemandangan yang bakal dapt dilihat dari balaicerap La Silla di kawasan pergunungan Chile nanti. (Image credit: M. Druckmüller/P. Aniol/K. Delcourte/P. Horálek/L. Calçada/ESO)
Di bawah ialah senarai laman web utama yang akan menyiarkan fenomena ini secara langsung di internet. Saya akan tambah dari semasa ke semasa apabila maklumat atau pautan lain diumumkan.
Momen fasa gerhana matahari penuh yang dlihat menerusi live streaming pagi tadi!
Menakjubkan! Itulah yang dapat disaksikan oleh jutaan penduduk sekitar Amerka Selatan, terutamanya di Chile, apabila bayang-bayang Bulan bergerak merentasi benua itu, dan menghasilkan fenomena Gerhana Matahari Penuh!
Apabila saya bangun sekitar jam 4 pagi tadi, tinjauan kasar menunjukkan kebanyakan daripada laman web sedang menyiarkan live strim daripada pelbagai lokasi. Namun, tumpuan saya ialah di sekitar balaicerap La Silla kepunyaan ESO, di mana ramai saintis dan ahli astronomi berkumpul dan menyaksikan satu pemandangan yang mengkagumkan dari kawasan 2400 meter dari aras laut!
Rangkuman 4 skrin youtube yang saya tonton serentak awal pagi tadi! Tamak benor!
Jika anda ingin menontonnya sekali lagi, sila klik pautan-pautan di bawah
(Atas: Video ini ada temuramah dan merakam suasana pencerap di sekiar La Silla Observatory)
(Atas: Video ini fokus pada pemandangan sahaja)
(Atas: Video ini fokus pada Matahari sahaja)
Menjelang 10-15 minit sebelum Fasa Gerhana Penuh atau dikenali juga sebagai Totality, saya dapat lihat betapa gelisah dan terujanya si pemberita, dan juga beberapa orang yang ditemuramahnya!
Sekali sekala, kedengaran salah seorang pencerap itu menjerit countdown menjelang saat-saat gelap.
Sesi temuramah.
Dalam masa 3 minit, mereka melaporkan suasana semakin kelam dan suhu jatuh mendadak. Saya boleh ingat kembali pengalaman saya sendiri di Australia dan Amerika Syarikat, memang sejuk!
Kemudian kedengaran juga planet Venus kelihatan di sebelah bawah Matahari, serta bintang Sirius.
Kemudian dalam masa beberapa saat menuju Totaliy, kelihatan langit sebelah barat sudah menjadi gelap. Ufuk kelihatan jelas dan tajam. Warna ufuk bertukar menjadi oren, kuning.
Warna ufuk kuning, langit menjadi gelap!
Tak lama selepas itu Fasa Penuh pun bermula! Kedengaran orang ramai berteriak. Pencerap yang ditemuramah tadi sibuk dengan rakaman.
Paling jelas, kita boleh dengar wartawan yang merakam video itu sendiri berasa amat kagum dan terkejut. Mungkin ini kali pertama dia tengok kot!
Sekali lagi, payah saya nak jelaskan dalam perkataan. Di bawah ialah pos tweet yang berjujuk-jujuk masuk ke dalam timeline twitter saya pagi tadi. Saya cuba komen yang termampu!
I can confirm these are my favourite views! And still it does not represents the real experience! One must be there psychically!
Kesan bentuk yang dikenali sebagai Diamond Ring, boleh dilihat beberapa saat sebelum gelap dan beberapa saat ketika ia nak keluar. Foto ini ketika ia nak masuk ke fasa Totality.
Satelit NOAA GEOS-16 merakam pergerakan bayang-bayang Bulan merentasi Lautan Pasifik Selatan dan menuju ke Chile! Saya rasa ini antara gambar dari satelit yang paling jelas setakat ini!
Yang ini sungguh menakjubkan. Saya rasa ia pemandangan dari kawasan bandar di Chile. Kena ingat ketika gerhana ini berlaku, ia waktu petang di sana… menjelang Maghrib. Maknanya Matahari memang rendah di ufuk!
Bentuk imej Matahari seperti bulan sabit, ketika dalam fasa gerhana separa. Saya ada terangkan sedikit mengenai efek imej Matahari ini menerusi video ringkas saya di FB di bawah (atau klik link ini).
— AccuWeatherAstronomy (@AccuAstronomy) July 2, 2019
Kita tunggu lagi dalam masa beberapa hari, foto-foto yang lebih menarik pasti akan mula dikongsikan oleh pakar astrofoto yang merakamnya di sana.
Sesungguhnya feomena Gerhana Matahari Penuh adalah sesuatu kejadian dan bukti kekuasaan Allah SWT. Kagum, takut, insaf dan terpesona, semua perasaan itu akan bercampur-baur dalam momen fasa penuh yang amat singkat itu.
Gerhana Matahari Cincin yang kita akan dapat saksikan di Malaysia hujung tahun 2019 ini nanti JAUH BERBEZA dan TIDAK SAMA dengan fenomena Gerhana Matahari PENUH. Namun begitu, kita patut ambil peluang untuk merasainya nanti.
Kalau nak tunggu Gerhana Matahari Penuh muncul di Malaysia, kita kena tunggu tahun 2042! Kalau malas nak tunggu, jom kita gagahkan diri kumpul duit dan jelajah ke lokasi di mana gerhana penuh akan berlaku, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Pengalaman yang akan diperolehi nanti pasti akan mengubah hidup anda!
Jangan lupa follow Twitter saya. Saya akan pos dan retweet foto-foto terbaru yang muncul sepanjang hari ini dan hari-hari akan datang.
Sebagai rujukan ringkas, berikut ialah tarikh-tarikh penting fenomena Gerhana Matahari (samada Separa, Cincin dan Penuh) yang akan merentasi Malaysia dan sekitar Asia Tenggara sahaja bermula dari tahun 2019 hingga 2042.
26 Disember 2019 – GERHANA MATAHARI CINCIN DI MALAYSIA
21 Jun 2020 – Gerhana Matahari Separa
20 April 2023 – Gerhana Matahari Separa
2 Ogos 2027 – Gerhana Matahari Separa
22 Julai 2028 – Gerhana Matahari Separa
13 Julai 2037 – Gerhana Matahari Separa
26 Disember 2038 – Gerhana Matahari Separa
20 April 2042 – GERHANA MATAHARI PENUH DI MALAYSIA!
14 Oktober 2042 – GERHANA MATAHARI CINCIN DI MALAYSIA
Jenis gerhana ini mungkin berbeza dengan fenomena sebenar. Saya hanya letakkan apa yang kita akan dapat lihat dari langit Malaysia.
Sebagai contoh, pada 21 Jun 2020 fenomena sebenarnya ialah Gerhana Matahari Cincin, tetapi di Malaysia kita hanya dapat lihat fasa Gerhana Matahari Separa sahaja.
Tahun akhir ialah 2042 bersempena kembalinya Gerhana Matahari Penuh yang akan dapat dilihat dari Malaysia. Kali terakhir tanahair kita mengalami gerhana penuh ini ialah pada 24 Oktober 1995 !
Kongsi-kongsikan jika ia didapati bermanfaat. Terima kasih.
26 Disember 2019 – Gerhana Matahari Cincin
Sebahagian selatan Semenanjung Malaysia dan sebahagian Sarawak akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Cincin pada waktu tengahari. Kawasan lain Malaysia akan mengalami Gerhana Matahari Separa.
Oman, UAE, India, Indonesia dan juga sebahagian Malaysia (seperti di atas) akan mengalami Gerhana Matahari Cincin
21 Jun 2020 – Gerhana Matahari Separa
Keseluruhan Malaysia akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa pada lewat tengahari.
Afrika, Oman, India, China akan mengalami Gerhana Matahari Cincin.
20 April 2023 – Gerhana Matahari Separa
Keseluruhan Malaysia akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa.
Di Australia dan Indonesia, akan mengalami Gerhana Matahari Penuh.
2 Ogos 2027 – Gerhana Matahari Separa
Semenanjung Malaysia akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari SEPARA rendah di ufuk barat menjelang Maghrib.
Mesir, Arab Saudi akan dapat mengalami Gerhana Matahari Penuh!
Sebahagian Semenanjung Malaysia dan Sarawak akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Cincin pada awal pagi. Kawasan lain akan mengalami Gerhana Matahari Separa.
Malaysia (atas), Indonesia, Australia dan New Zealand akan mengalami Gerhana Matahari Cincin.
Saya ada juga menyenaraikan Gerhana Matahari Penuh yang akan berlaku di seluruh dunia dalam masa 10 tahun akan datang menerusi pos saya di FB di bawah.
Giliran Zuhal pula! Selepas tengah malam nanti, jam 12:52 AM 10 Julai 2019, planet gergasi bergelang ini akan berada di dalam posisi bersetentang dengan Matahari, juga dikenali sebagai istiqbal atau opposition.
Ketika ini Bumi bergerak di antara Zuhal dan Matahari. Di langit, kita akan dapat lihat planet ini terbit sebaik sahaja Matahari terbenam pada waktu Maghrib. Ia akan kelihatan di langit sepanjang malam hinggalah ke Subuh.
Namun jangan keliru dan terlampau fokus kepada tarikh dan waktu di atas, kerana planet ini boleh je kelihatan setiap hari. Cuma momennya sahaja yang agak istimewa. Hakikatnya, planet ini akan mendominasi langit kita sepanjang bulan ini, Ogos, September malah hingga ke hujung tahun 2019!
Menerusi pandangan mata kasar, ia kelihatan seperti sebutir bintang kekuningan yang terang di sebelah timur. Ia berada di dalam buruj Sagittarius, berhampiran dengan kawasan lingkaran Bima Sakti yang terang tu!
Zuhal sudah mula kelihatan tinggi sekitar waktu Isya’ sekarang ni.
Jika anda masih keliru dengan kedudukan planet ini di langit, jadikan Musytari sebagai panduan. Planet Musytari ini sungguh terang dan memukau pandangan kita di sebelah timur sebaik sahaja Maghrib. Berpandukan planet gergasi ini, arahkan pandangan ke bawah. Mata anda akan bertemu dengan sebutir ‘bintang’ yang terang, Itulah Zuhal!
Video Langit Minggu Ini 8-14 Julai 2019 ini ada menerangkan mengenai kedudukan Zuhal di langit.
Tahun ini, gelang planet Zuhal masih kelihatan luas dan terbuka. Sudut pandangan ini akan berubah dari tahun ke tahun, dan ada satu ketika kita akan melihatnya dari sudut tepi sahaja dan gelangnya seolah-olah seperti satu garis lurus!
Kita masih bernasib baik untuk tahun 2019 ini, ia masih cantik dan awesome. Saya sempat rakam planet ini beberapa bulan lepas (foto bawah) dan inilah bentuknya jika kita lihat menerusi teleskop nanti.
Zuhal yang dirakam pada 25 Mei 2019 lepas. @shahgazer
Ye betul, anda perlukan sebuah teleskop untuk melihat bentuk gelangnya. Planet ini berada amat jauh dari Bumi ia kelihatan kecil sahaja, walaupun secara realitinya ia hampir 10 kali ganda lebih besar daripada Bumi!
Maka, alat seperti teleskop diperlukan. Namun begitu teleskop kecil pun sudah memadai, tak perlu yang besar-besar. Rupa bentuk Zuhal ini unik dan lain daripada yang lain!
Janganlah pula risau jika anda pernah terbaca mengenai kemungkinan gelang ini akan hilang tak lama lagi. Ia bukanlah kejadian yang akan berlaku dalam jangka hayat manusia!
Muncul dan hilangnya gelang Zuhal ini adalah disebabkan paksi putaran Zuhal ini senget sedikit seperti Bumi. Kesannya ialah ketika Bumi dan Zuhal bergerak di dalam orbit, sudut pandangan terhadap gelang ini akan berubah-ubah.
Simulasi di bawah saya janakan menerusi SkySafari 6 Pro yang cuba menunjukkan perubahan sisi pandangan gelang itu dari hari ke hari selama beberapa tahun.
Fenomena istiqbal atau opposition ini berlaku bukan sahaja dengan Zuhal, tetapi semua planet yang berada di orbit di belakang Bumi. Ini termasuklah Marikh, Musytari. Uranus, Neptune, Pluto dan segala macam objek lain di sana!
Fakta menarik jika kita lihat tarikh-tarikh berlakunya istiqbal Zuhal ini sebelum ini, 23 Mei 2015, 3 Jun 2016, 15 Jun 2017, 27 Jun 2018 dan 10 Julai 2018, ia berlaku dalam selang masa lebih kurang 1 tahun 2 minggu di antara setiap satu momen ini berlaku!
Zuhal, Bumi dan Matahari segaris ketika saat berlakunya istiqbal planet Zuhal malam nanti.
Zuhal mempunyai 62 bulan semulajadi. Malangnya hanya satu sahaja bulannya yang terang dan mudah dilihat menerusi teleskop, iaitu Titan. Selebihnya amat kelam dan memerlukan samada teleskop yang amat besar atau merakamnya menerusi kaedah astrofotografi tertentu.
Foto dibawah di rakam dengan waktu dedahan yang lama dan juga ditindih (stacking) beribu-ribu frame. Saya berjaya merakam bulan kecil bernama Hyperion, bermagnitud 15.1 !
Zuhal dan sebahagian daripada bulan-bulannya. @shahgazer
Semalam, prob angkasa kepunyaan Jepun, Hayabusa2, menjadi prob pertama di dalam sejarah penerokaan angkasa lepas yang berjaya mengumpul bahan-bahan di bawah permukaan sebuah asteroid. Menerusi data yag diperolehi daripada Hayabusa2 ini, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) mengumumkan pendaratan serta perlepasan ‘peluru’ untuk tujuan pensampelan telah berjaya dilakukan.
[PPTD] These images were taken immediately after today’s touchdown (Jul 11) with the ONC-W1. First photo was taken at 10:06:32 JST (on-board time) and you can see the gravel flying upwards. Second shot was at 10:08:53 where the darker region near the centre is due to touchdown. pic.twitter.com/6OhrYShz4D
Berdasarkan twit dari akaun rasmi @haya2e_jaxa , prob ini telah mendarat pada jam 10:06 am waktu Jepun semalam, 11 Julai 2019.
Jika ada yang masih ingat pada bulan Februari lepas, Hayabusa2 telah pun melakukan aktiviti yang serupa dengan menembak sebutir peluncur ke arah permukaan asteroid Ryugu ini dan menyebabkan debu-debu di atas permukaan asteroid ini terhambur keluar dan dikumpulkan oleh prob berkenaan.
Kali ini ia sedikit berbeza. Misi semalam ialah untuk mengumpul bahan-bahan DI BAWAH permukaan asteroid ini. Sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh manusia dan juga amat penting dalam usaha kita mempelajari proses pembentukan awal sistem suria ini.
Apa yang telah dilakukan oleh Hayabusa2 ialah pada bulan April lepas, ia telah melepaskan satu alat penghentam (impactor) yang diperbuat daripada tembaga. Hasil hentaman kuat itu, ia telah membentuk sebuah kawah buatan manusia yang mana di sekeliling kawah itu dipenuhi dengan habuk dan debu yang terkeluar daripada bawah permukaan. Bahan-bahan ini amat penting bagi saintis kerana ia terpelihara daripada kesan cuaca angkasa yang terdiri daripada sinaran kosmik dan partikel yang datang daripada Matahari.
Dalam erti kata lain, bahan-bahan ini ‘masih suci’… ‘suci dalam debu’!
Pada 9 dan 10 Julai, prob ini telah perlahan-lahan bergerak menghampiri asterod ini. Kita kena ingat, graviti asteroid ini amat lemah. Pengendali prob ini terpaksa menggunakan penujah roket secara berhati-hati. Kemudian apabila ia berada pada jarak 30 meter di atas permukaan, prob ini mengesan kembali ‘kawah buatan manusia’ tadi dan secara automatik menyelaraskan kedudukan supaya berada tepat di atasnya. Prob ini pun melakukan pendaratan.
Pendaratan ini berlaku dalam masa beberapa saat sahaja. Ketika itu ia sekali lagi menembak dengan satu peluncur kecil. Ini menyebabkan sekali lagi habuk dan debu terpelanting keluar dari bawah permukaan asteroid itu dan masuk ke dalam tiub pengumpul.
Menarik di sini ialah, kita tak akan tahu berapa banyak sampel yang telah berjaya masuk ke dalam tiub ini, sehinggalah Hayabusa2 kembali ke Bumi nanti.
Misi kedua ini mempunyai risiko yang amat tinggi. Hayabusa2 telah pun melakukan pengumpulan sampel dalam pendaratan pertamanya pada Februari lepas. Maknanya jika misi kedua ini gagal dan prob ini rosak atau gagal berfungi, saintis akan kehilangan kesemua sampel yang cuba di bawa pulang tu!
Namun begitu, berdasarkan apa yang dikatakan oleh ahli pasukan Hayabusa 2, Takashi Kubota, seperti mana dilaporkan oleh New Scientist, “Ia adalah suatu kejayaan, kejayaan yang besar. Kami telah berjaya melaksanakan semua prosedur yang dijadualkan”.
Kalau tengok gambar di bawah ni pun, kita dah boleh agak samada berjaya atau tidak misi kali ini!
[PPTD] Thank you for your support from all over the world! Everyone in the control room is making a cheerful V-sign for the second touchdown! pic.twitter.com/YUz7sVmQPb
Foto di bawah dirakam pada jam 10:08:53 JST, 11 Julai 2019 ketika Hayabusa2 sedang naik semula. Boleh lihat kesan hemtaman peluncur tu!
(Image credit ※: JAXA, University of Tokyo, Kochi University, Rikkyo University, Nagoya University, Chiba Institute of Technology, Meiji University, University of Aizu and AIST.)
Foto di bawah ini pula menunjukan momen prob sedang berada di atas permukaan asteroid ini.
Foto menerusi kamera CAM-H (Kredit: JAXA)
Dan yang ini ialah keadaan permukaan yang telah dihentam, lebih kurang 4 saat selepas pendaratan tadi!
Foto menerusi kamera CAM-H (Kredit: JAXA)
(Jika tiada gambar yang keluar di atas, sila ke link asal ini)
Selepas ini prob Hayabusa2 akan mula bersiap sedia kembali ke Bumi lewat tahun 2020 nanti. Sampel-sampel ini dijangka akan dilepaskan masuk ke atmosfera Bumi, manakala prob utama Hayabusa2 ini akan kekal di angkasa lepas. Khabarnya mungkin jika JAXA ada bajet lebih, ia akan menziarah asteroid lain pula!
Keseluruhan misi ini sungguh mengkagumkan. Saya suka melihatnya daripada sudut teknologi kawalan dan betapa terperincinya perancangan dalam sistem perkomputeran yang dibangunkan oleh JAXA.
Bayangkanlah, semua ini berlaku di atas sebuah asteroid kecil bersaiz 870 meter sahaja dan berada sejauh 290 JUTA km daripada Bumi! Isyarat yang dihantar ke sana terpaksa mengambil masa 20 minit dan ketepatan pergerakan prob ini mendarat di atas Ryugu dalam ralat 1 meter sahaja!
It's just incredible that all of these are happening on a tiny 870 metre rock, at 290 million km away from Earth! https://t.co/tonT70Cdbt
Lakaran artis, asteroid 2019 OK yang melintasi Bumi pada jarak hanya 1/5 jarak ke Bulan!
Aduss.. nyaris tu!! Kalau sesiapa yang terbaca berita astronomi beberapa hari lepas pasti akan terserempak dengan sebuah berita mengejutkan di mana sebuah asteroid yang agak besar, telah melintasi di antara Bumi dan Bulan. Lebih mengerikan ialah asteroid ini hanya diketahui laluannya sehari sebelum ia melintas!
makk aiii
Asteroid yang bernama 2019 OK (…mujurlah nama dia ‘OK’ ) telah dikesan oleh ahli astronomer di balai cerap SONEAR di Oliveria, Brazil pada sekitar tengah malam (waktu UTC) pada 24 Julai. 10 jam kemudian, satu lagi pasukan yang mengendalikan projek ASAS-SN (All-Sky Automated Survey for Supernovae) telah mengesan objek yang sama.
Menurut Kris Stanek, seorang professor astronomi yang juga salah seorang penyelidik utama ASAS-SN, “Data telah menunjukkan sesuatu sedang bergerak dan bergerak amat laju! Teleskop-teleskop kami merakam dengan tetapan dedahan 90 saat, dan benda itu bergerak di dalam setiap rakaman tersebut! Jadi kami terpaksa mengenalpasti apakah benda itu kerana ia bergerak amat pantas!”
Asteroid 2019 OK ini bergerak pada kelajuan 20km/saat dan ketika ia melintasi Bumi kita, ia berada pada jarak 80,000 km, lebih kurang 1/5 jarak Bumi-Bulan! Ia berlaku antara jam 9:00am hingga 10:00am 25 Julai 2019 waktu Malaysia.
Saiz asteroid ini dijangkakan antara 60-130 meter, cukup besar untuk menghancurkan sebuah bandaraya besar jika ia terhempas ke Bumi.
Menurut Stanek lagi, jika saiz asteroid ini ialah 100 meter dan berlanggar dengan Bumi, tenaga yang terhasil menyamai letupan TNT seberat 5 tan dan akan menghasilkan sebuah kawah sebesar 1 km.
Sebenarnya, asteroid 2019 OK ini tidaklah istimewa pun. Ia dikategorikan sebagai sebuah asteroid yang kecil. Namun, jika dibandingkan dengan objek-objek Near-Earth-yang lain, ia agak besar. Orbitnya juga agak unik kerana pada poin paling jauh ia berada lebih jauh dari Marikh, dan ketika ia berada paling dekat dengan Matahari, ia berada di persekitaran orbit Utarid dan Zuhrah.
Disebabkan ia berlaku secara tiba-tiba, tidak banyak ulasan yag dibuat (atau sempat dibuat!). Berbeza dengan isu viral asteroid 2002 NT7 yang lalu! Namun apa yang pasti , aktiviti pemantauan langit terhadap objek-objek yang berpotensi membawa bencana kepada Bumi semakin rancak dilakukan.
Unik dalam kes 2019 OK ini ialah, salah sebuah balai cerap yang menemui asteroid (ASAS-SN) ini sebenarnya sedang mengkaji dan memantau langit untuk letupan supernova. Sistem ASAS-SN ini menarik untuk dibaca kerana ia mempunyai 20 buah teleskop kecil (yang juga sebenarnya hanya lens kamera) yang diletakkan pada 4 buah lokasi di seluruh dunia: Hawaii, Texas, Chile dan Afrika Selatan.
Bidang kajian objek-objek bahaya ini semakin banyak dibuat. Kewujudan sistem teleskop robotik yang membuat pemantauan dan rakaman automatik setiap malam telah membolehkan lebih banyak asteroid berbahaya ini ditemui. Saya jangkakan apabila Large Synoptic Survey Telescope mula beroperasi, ia bakal merancakkan lagi bidang ini.
Apa pun, dalam kes asteroid 2019 OK ni, … setakat ni kita semua OK selamat, Alhamdulillah!
Berlayar di angkasa dengan cahaya matahari. Perghhh.. bunyi macam cerita dongeng zaman 50an. Hakikatnya telah ada pun kapal angkasa yang sedang melakukan demikian!
LightSail 2 , sebuah satelit kecil yang dilancarkan ke orbit hasil project sumbangan orang ramai atau crowdfunded dan juga projek yang dikawal selia oleh The Planetary Society telah berjaya bergerak ke orbit yang lebih tinggi, dengan hanya menggunakan tenaga solar!
Minggu lepas, setelah dilancarkan dari Kennedy Space Center, Florida di atas roket SpaceX Falcon Heavy, kapal angkasa ini telah berjaya mengeluarkan layar solar (solar sail) yang diperbuat daripada bahan Mylar yang dialuminiumkan.
Layar solar yang berjaya dikeluarkan. Kredit Planetary Society.
Sejak beberapa hari yang lepas, pengendali misi ini telah cuba menghalakan layar ini ke kedudukan yang optimum untuk menerima cahaya Matahari. Kemudian dengan hanya menggunakan tenaga suria yang dikumpulkan oleh layar tersebut, mereka telah berjaya menaikkan orbit Lightsail 2 ini pada jarak 2 km! Poin paling tinggi ini juga dikenali sebagai apogee. Jarak yang sama, 2 km ke bawah, turut dicapai apabila kapal angkasa kecil ini bergerak ke poin paling rendah atau perigee.
The Planetary Society / Data oleh NXTRAC
Pergerakan yang semakin rendah ini konsisten dengan kesan seretan atmosfera Bumi yang nipis yang masih wujud pada ketinggian itu.
Menurut Bruce Betts, “Kami sangat gembira untuk mengumumkan kejayaan misi LightSail 2. Kriteria kami ialah untuk menunjukkan pergerakan terkawal sebuah CubeSat dengan mengubah orbit kapal angkasa ini dengan hanya menggunakan tekanan cahaya daripada Matahari. Sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan saya amat berbangga dengan pasukan ini”
Lightsail 2 telah menjadi kapal angkasa pertama yang digerakkan oleh layar solar di dalam orbit Bumi. Ia juga merupakan kapal angkasa kedua yang berjaya menggunakan teknologi pelayaran solar ini, selepas misi IKAROS oleh Jepun (yang dilancarkan pada tahun 2010).
Years of computer simulations. Countless ground tests. They've all led up to now. The Planetary Society's crowdfunded LightSail 2 spacecraft is successfully raising its orbit solely on the power of sunlight.
Setelah sebulan berada di orbit, Lightsail 2 akan kembali masuk jatuh ke dalam atmosfera Bumi. Jangkaan ini akan berlaku dalam masa lebih kurang setahun. Layar solar yang besar ini mungkin akan dapat dilihat melintasi langit pada momen ia berlaku nanti.
Laman khas Lightsail 2 Mission Control ini ada menunjukkan kedudukan terkini kapal angkasa ini berada di dalam orbit. Mungkin ada pemerhati langit di Malaysia bernasib baik dapat melihatnya nanti kot.
Sumbangan crowdfunding projek LightSail 2 ini mencecah $7 juta dollar, hasil daripada para dermawan 50,000 ahli Planetary Society, serta orang perseorangan dari lebih 100 buah negara!
Untuk rujukan lebih lanjut sila ke pautan di bawah.
Juraian meteor Perseids akan memuncak menjelang Subuh hari Selasa minggu hadapan, 13 Ogos 2019. Meteor ini merupakan di antara juraian meteor yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat astronomi dan pemerhati langit. Jadi, apakah kebarangkalian dan prospek kenampakan meteor ini untuk tahun ini?
Tarikh kemunculan meteor.
Meteor Perseids akan mula kelihatan di langit bermula dari 17 Julai hingga 24 Ogos. Meteor-meteor ini akan mudah kelihatan dari tengah malam hinggalah menjelang Subuh. Pada awal pagi 13 Ogos nanti, bilangan meteor ini akan menjadi paling banyak.
Bilangan meteor
Dijangkakan akan kelihatan di antara 50-75 meteor setiap jam pada awal pagi tersebut. Namun nombor itu adalah dari kawasan luar bandar. Jika kita cuba melihatnya dari kawasan bandar, atau dari kawasan yang dicemari cahaya, bilangannya akan jauh rendah.
Nilai ZHR atau Zenithal Hourly Rate merupakan jumlah meteor jika dilihat dari kawasan sempurna gelap dan juga titik radian meteor ini berada tegak di atas kepala.
Di dalam kes Perseids ini, nilai ZHR-nya ialah 100. Memang banyak! Tetapi kita harus bersikap realistik dan mengambil kira kedudukan titik kemunculan ini dari langit Malaysia, serta keadaan persekitaran.
Gangguan cahaya Bulan.
Untuk tahun 2019 ini, pada 13 Ogos nanti, Bulan berada pada fasa hampir purnama. Ia akan hanya terbenam pada jam 5 pagi (Semenanjung). Ini bermaksud kita hanya akan memperolehi 1 jam langit yang gelap tanpa gangguan cahaya Bulan, untuk benar-benar menikmati kemunculan meteor Perseids ini!
Bulan berada dalam fasa hampir purnama pada awal pagi 13 Ogos 2019 nanti.
Walaupun begitu, janganlah berasa kecewa. Kita masih boleh melihat kemunculan meteor Perseids yang cerah-cerah sepanjang malam itu. Namun janganlah harap bilangannya nanti akan menjadi banyak!
Arah pandangan
Meteors Perseids akan muncul dari kawasan buruj Perseus yang berada di langit timur laut. Buruj ini akan terbit sekitar jam 1 pagi dan menjelang 5 pagi, ia agak tinggi di langit timur laut.
5 pagi langit Semenanjung Malaysia (6 pagi langit Sabah). SImulasi Sky Safari 6 Pro
Arahkan pandangan kita jauh daripada Bulan. Cari kawasan langit yang paling jauh dari gangguan cahaya Bulan, sebagai contoh arah timur. Kawasan inilah peluang terbaik untuk melihat bilangan meteor yang ‘agak banyak’.
Cara melihatnya
Setelah mendapat lokasi langit gelap yang paling ideal, lakukan cerapan meteor ini dengan hanya menggunakan mata sahaja. Kita tidak perlukan teleskop. Meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana kawasan langit.
Cuba cari kawasan lapang yang tiada gangguan atau halangan. Kawasan padang atau tepi pantai adalah yang terbaik. Carilah kawasan yang tidak diganggu oleh cahaya seperti cahaya lampu jalan, lampu rumah atau kawasan lalu-lalang kenderaan.
Jangan sekadar menjenguk di luar tingkap 2 minit kemudian complain tak nampak meteor! Saya dah dengar banyak kisah seperti ini!
Suasana cerapan meteor di Sabah, pada tahun 2016. Foto kredit Harris Jefrrey
Cara yang betul ialah, kita kena berada dalam keadaan rileks dan berbaring. Hamparkan tikar atau kalau segan nak baring, carilah ‘kerusi malas’ yang boleh disengetkan. Jangan berdiri sambil mendongak! Ia akan mengakibatkan sakit tengkuk yang kronik pada keesokan paginya! Jangan cari nahas!
Merakam dalam kamera.
Lupakan saja kamera dalam telefon bimbit tu! Cara yang betul ialah dengan menggunakan kamera DSLR dan lens yang wide-angle. Rakamkan seberapa banyak shot yang boleh dengan waktu dedahan yang paling lama, sebagai contoh 30 saat.
Kamera DSLR adalah alat rakaman meteor terbaik.
Disebabkan adanya Bulan, disarankan halakan kamera itu ke kawasan berlawanan arah daripada cahaya Bulan.
Berdasarkan maklum balas penjejak meteor yang ada, bilangan meteor yang berjaya dirakam dalam kamera jauh lebih kecil berbanding dengan apa yang kita dapat lihat dengan mata! Maka, jangan hairanlah jika di antara beribu-ribu frame yang dirakam, mungkin ada hanya 3-4 keping sahaja yang ada meteor!
Pada 26 Disember 2019 nanti, kita berpeluang menyaksikan sekali lagi fenomena Gerhana Matahari. Seluruh penduduk Malaysia dan Asia Tenggara berpeluang melihat Bulan menutupi sebahagian daripada Matahari.
Namun begitu, saya ingin mengingatkan agar anda sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika melihat ke arah Matahari.
AMARAN! JANGAN SEKALI-KALI MEMANDANG TEPAT KE ARAH MATAHARI!
Cahaya Matahari amat terang dan berbahaya. Mata kita akan rosak kekal, terbakar dan buta jika kita memandang terus ke arah Matahari.
Oleh itu, cara PALING SELAMAT yang disyorkan ialah dengan menggunakan kaedah Kamera Lubang Pin.
Berikut ialah beberapa video yang menunjukkan cara mudah untuk membina alat ini. Walaupun tak canggih, tetapi ia adalah cara PALING SELAMAT.
Jika anda telah membina sebuah kamera lubang pin, kongsikan dengan saya menerusi link youtube. Saya akan letakkan video anda di sini sebagai panduan rakan-rakan kita yang lain!
Gerhana Matahari Cincin yang telah dirakam oleh penulis pada tahun 2013 di Australia.
Pada 26 Disember 2019 nanti, kita berpeluang menyaksikan sekali lagi fenomena Gerhana Matahari Cincin di Malaysia. Kali terakhir fenomena ini berlaku ialah pada tahun 1998.
Ketika itu, rata-rata masyarakat semenanjung Malaysia dari Melaka merentas ke Mersing dan terus ke laut ke sebuah pulau kecil bernama Pulau Dayang dan Aur (di mana saya berada di sana), telah menyaksikan satu susunan indah bulan dan matahari sejajar.
Kini, hampir 21 tahun kemudian, bayang-bayang Bulan akan kembali melintasi Malaysia.
Apakah Gerhana Matahari Cincin?
Gerhana Matahari Cincin berlaku apabila Bulan bergerak tepat di hadapan Matahari. Namun disebabkan pada ketika itu, Bulan berada sedikit jauh daripada Bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring Matahari.
“Ring of fire” antara gelaran yang diberikan ketika kemuncak Gerhana Matahari Cincin. Foto di atas menunjukkan dengan jelas ketika sentuhan atau kemunculan pertama bulan, kemuncak gerhana dan hingga kembali hilangnya bulan. (Image credit: Courtesy of Jay Pasachoff)
Kesannya ialah jika kita berada di dalam kawasan atau berhampiran dengan kawasan laluan tengah gerhana ini, Matahari akan kelihatan seperti cincin.
Laluan Gerhana Matahari Cincin 2019
Secara amnya, laluan gerhana cincin ini akan bermula dari Semenanjung Tanah Arab, kemudian memasuki selatan India dan Sri Lanka, seterusnya Asia Tenggara merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sebelum ia berakhir di lautan Pasifik.
Di kawasan Asia Tenggara (lihat peta bawah), bayang-bayang Bulan akan memasuki Sumatera Utara. Kemudian ia akan merentas Selat Melaka dan memasuki kawasan Pulau Batam. Sebahagian kecil Semenanjung Malaysia dan Singapura juga akan masuk di dalam kawasan ini. Selepas itu, ia akan mencecah di Kalimantan. Masuk ke dalam sebahagian sempadan Sarawak dan Kalimantan sebelum jatuh ke laut. Di Filipina, hanya sebahagian kecil hujung selatan Mindanao akan dapat melihat bentuk cincin ini.
Di Malaysia, di manakah kawasan yang betul-betul akan dapat melihat bentuk gerhana cincin ini? Berdasarkan peta di bawah, didapati kawasan Kukup dan Tanjung Piai akan jadi spot paling hot untuk cerapan gerhana nanti.
Kena ingat, kawasan shading gelap tu je yang akan nampak bentuk cincin. Di sebelah atas (contoh di Pontian Kechil), masih boleh nampak gerhana.. tetapi hanya dalam fasa bentuk gerhana separa je.
Satu lagi kawasan ialah di Pengerang, tapi saya tak pasti ada kawasan umum yang sesuai tak untuk cerapan di sana. (Lihat peta bawah)
Jika nak ke Singapura, boleh menyeberang tambak johor dan pergi ke kawasan tengah dan selatan negara tersebut. Peta ini juga menunjukkan hanya separuh sahaja daripada Singapura akan dapat menikmati fasa separuh tu.
Jika nak adventurous lagi, boleh ke Pulau Batam, Di sini ada lokasi yang berada betul-betul di bahagian tengah laluan gerhana ini nanti. Dikhabarkan ramai juga pengkaji gerhana Malaysia akan ke sana nanti.
Waktu berlakunya gerhana
Secara amnya, fasa kemuncak Gerhana Matahari Cincin ini akan berlaku menjelang waktu Zuhur, atau tengahari.
Saya buat beberapa kiraan berdasarkan laman web Xavier Jubier ini, untuk beberapa lokasi pilihan di sekitar selatan Johor.
Tanjung Piai National Park, Johor ( 2 minit 31 saat )
Fasa Gerhana
Waktu
Gerhana Separa bermula (C1)
11:26 AM
Gerhana Cincin bermula (C2)
1:21:07 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX)
1:22:23 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3)
1:23:29 PM
Gerhana Separa berkahir (C4)
3:17:27 PM
Kukup ( 2 minit 4 saat )
Fasa Gerhana
Waktu
Gerhana Separa bermula (C1)
11:25 AM
Gerhana Cincin bermula (C2)
1:21:05 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX)
1:22:07 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3)
1:23:10 PM
Gerhana Separa berkahir (C4)
3:17:16 PM
Teluk Kerang ( 38 saat )
Fasa Gerhana
Waktu
Gerhana Separa bermula (C1)
11:25 AM
Gerhana Cincin bermula (C2)
1:21:42 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX)
1:22:00 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3)
1:22:20 PM
Gerhana Separa berkahir (C4)
3:17:12 PM
Pengerang ( 31 saat )
Fasa Gerhana
Waktu
Gerhana Separa bermula (C1)
11:27 AM
Gerhana Cincin bermula (C2)
1:24:22 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX)
1:24:38 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3)
1:24:54 PM
Gerhana Separa berkahir (C4)
3:19:08 PM
Di bawah ialah untuk lokasi di Sarawak
Serian ( 3 minit 26 saat )
Fasa Gerhana
Waktu
Gerhana Separa bermula (C1)
11:49 AM
Gerhana Cincin bermula (C2)
1:46:44 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX)
1:48:27 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3)
1:50:10 PM
Gerhana Separa berkahir (C4)
3:34:54 PM
Kota Samarahan (1 minit 46 saat )
Fasa Gerhana
Waktu
Gerhana Separa bermula (C1)
11:48 AM
Gerhana Cincin bermula (C2)
1:47:15 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX)
1:48:08 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3)
1:49:01 PM
Gerhana Separa berkahir (C4)
3:34:45 PM
Bagaimana dengan lokasi-lokasi lain di Malaysia?
Selain daripada kawasan di atas, seluruh Malaysia dan Brunei, serta sebahagian Singapura akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa. Di kawasan ini, ketika waktu puncak gerhana, Matahari tidak akan kelihatan seperti cincin, tetapi lebih menyerupai bentuk ‘bulan sabit’.
Fasa Gerhana Matahari Separa. Bentuk seperti ‘bulan sabit’ inilah yang akan dapat dilihat dari kawasan luar daripada sempadan gerhana cincin tadi. Foto oleh penulis.
Adakah langit akan menjadi gelap?
Malangnya tidak. Fenomena Gerhana Matahari Cincin dan Separa tidak akan menghasilkan langit gelap seperti Gerhana Matahari Penuh. Ini disebabkan sebahagian Matahari masih kekal kelihatan bersinar.
Kena ingat, walaupun sedikit sahaja kawasan Matahari yang tinggal ketika kemuncak gerhana, ia masih SANGAT TERANG dan AMAT MERBAHAYA untuk kita pandang dengan mata kasar. Sila pastikan anda menggunakan cara yang BETUL dan SELAMAT ketika mencerap nanti.
Seingat saya berdasarkan pengalaman cerapan tahun 1998, 2009 dan 2013 yang lalu, suasana sekeliling akan kelihatan seperti mendung sedikit. Warna dijangka akan menjadi seperti lewat senja.
Namun, bergantung juga kepada keadaan cuaca. Jika berawan atau hujan, memanglah gelap!
Berapa lamakah durasi Gerhana Matahari ini nanti?
Secara amnya, KESELURUHAN fasa Gerhana Matahari ini, yakni ketika kali pertama munculnya bayang-bayang Bulan dan hinggalah ke momen Bulan itu kembali hilang, durasinya adalah selama lebih kurang 3 jam 51 minit.
Namun, untuk lokasi yang dapat menyaksikan fasa Gerhana Cincin, durasi bentuk cincin ini akan kelihatan sekitar 1 saat hingga paling lama pun sekitar3 minit 26 saat (bergantung kepada lokasi).
Secara am, lebih hampir kita ke sempadan luar bayang-bayang, semakin pendek durasi bentuk cincinnya. Manakala durasi ini semakin panjang apabila kita bergerak semakin jauh ke selatan tanahair.
Adakah fenomena ini boleh dilihat dengan mata kasar?
Gerhana ini BOLEH DILIHAT dengan mata kasar DENGAN SYARAT anda menggunakan KAEDAH YANG BETUL dan SELAMAT!
Kena ingat Matahari ini amat terang dan amat berbahaya. Saya berulang kali nasihatkan, JANGAN SEKALI-KALI PANDANG KE ARAH MATAHARI TANPA PENAPIS MATAHARI YANG BETUL
Kesan terbakar di dalam retina mata jika pandang ke arah Matahari tanpa penapis! Awas awas! Klik imej untuk pautan artikel penting.
Artikel ringkas ini sekadar memberi maklumat asas fenomena Gerhana Matahari Cincin (dan Separa) yang akan berlaku pada 26 Disember 2019 nanti.
InsyAllah akan ada lebih banyak artikel susulan selepas ini. Jika anda mempunyai sebarang cadangan, sila majukan pandangan di dalam ruangan komen di bawah. Pape roger!
Kita akan dapat menyaksikan sekali lagi Gerhana Matahari Cincin pada 26 Disember 2019 ini. Bagi memastikan anda dapat maklumat yang tepat dan cara yang betul mencerap gerhana ini, saya telah dan akan menyediakan artikel-artikel ringkas dari semasa ke semasa.
Pastikan anda bookmark falakonline.net/gmc2019 untuk capai ke page ini.
Jika anda mempunyai maklumat baru yang turut ingin dikongsikan, sila hubungi terus saya.
Waktu fenomena ini adalah berdasarkan kiraan laman web oleh ahli astronomer terkenal Xavier Jubier. Saya telah ringkaskan kepada minit terhampir (melainkan untuk lokasi Gerhana Cincin, yang mana saya perincikan kepada saat terhampir).
Jika lokasi anda tidak termasuk di dalam senarai ini, jangan risau, Terus ke laman web Xavier Jubier ini dan klik pada peta yang tertera. Waktu yang ditulis di laman web itu ialah Universal Time. Kita di Malaysia, perlu tambah 8 jam untuk dapatkan waktu tempatan kita.
InsyaAllah saya sediakan satu artikel lain untuk menggunakan maklumat gerhana daripada apps atau utiliti web lain.
Hari ini menandakan Hari Ekuinoks untuk bulan September. Bagi tahun 2019 ini, momen tepat ketika fenomena ini berlaku ialah pada jam 3:50 pm, 23 September 2019.
Apakah sebenarnya Ekuinoks?
Paksi Bumi yang senget 23.4 darjah menyebabkan Matahari akan terbit dan terbenam di titik yang berlainan sepanjang tahun.
Kesannya ialah ada waktunya hemisfera utara atau selatan akan menerima cahaya Matahari lebih lama berbanding hemisfera yang berlawanan.
Titik terbit Matahari ini tidak akan melebihi azimut 23.4 darjah ke ‘kiri’ atau ke ‘kanan’ daripada poin arah mata angin Barat/Timur kita.
Simulasi Sky Safari Pro yang menunjukkan titik terbit Matahari sepanjang tahun.
Dalam istilah geografi, ketika Matahari berada paling ke utara, iaitu 23.4 darjah Utara, ia akan berada tegak di atas Garisan Sartan, manakala ketika ia berada 23.4 darjah ke selatan, ia berada di atas garisan Jadi.
Apabila Matahari bergerak ke ‘kiri’ dan ke ‘kanan’ ini, akan berlaku pada tarikh dan waktu tertentu, di mana Matahari akan melintasi garisan Khatulistiwa.
Simulasi Sky Safari Pro menunjukkan kedudukan sempadan siang dan malam Bumi pada hari Ekuinoks.
Momen inilah yang dipanggil sebagai Ekuinoks.
Ekuinoks bulan September ini menandakan bermulanya musim luruh bagi negara-negara hemisfera utara, dan bermulanya musim bunga bagi negara-negara di hemisfera selatan.
Bagi kita di Malaysia ni, Ekuinoks September ini menandakan perubahan pergerakan angin, dan menandakan bermula musim Monsun Timur Laut. Situasi jerebu yang teruk yang kita alami sebulan dua lepas ini dijangka akan bertambah pulih apabila angin timur laut meniup asap jerebu keluar dari Malaysia.
Ia juga menandakan bermula musim hujan ribut banjir! alamak!
Adakah pada hari ini, kita akan mengalami waktu malam dan siang yang sama panjang?
Soalan menarik. Malangnya ia tidaklah semudah sebegitu!
Sejak turun temurun kita diajar bahawa ketika Ekuinoks, seluruh permukaan Bumi akan mengalami panjang siang dan lama yang sama.
Malah perkataan ‘equinox’ itu sendiri diambil daripada bahasa Latin yang membawa maksud ‘equal night’ atau malam yang sama panjang.
Adakah itu benar? Ok jom kita kaji satu per satu.
Waktu sebenar terbit Matahari ialah ketika bahagian ‘piring’ atas Matahari mula kelihatan di atas ufuk. Sama juga kes ketika waktu terbenam Matahari apabila keseluruhan bentuk piring Matahari hilang di bawah ufuk.
Bahagian atas piring Matahari adalah titik rujukan waktu terbit atau terbenam. Simulasi Sky Safari.
Disebabkan Matahari ini besar dan ada saiz (bukan berbentuk titik seperti bintang), maka momen ia betul-betul terbit dan terbenam akan mengambil masa sedikit.
Maka itu, julat sebenar untuk siang kita bermula dan berakhir adalah lebih sedikit berbanding 12 jam.
Biasan Cahaya.
Lagi satu faktor yang kena ambil kira ialah biasan cahaya. Disebabkan Bumi kita mempunyai atmosfera dan lapisan ini mempunyai ketumpatan yang berbeza-beza, ia akan membiaskan mana-mana cahaya yang bergerak melaluinya.
Apabila kita pandang ke ufuk (horizon), kita sebenarnya sedang melihat lapisan atmosfera yang lebih tebal berbanding apabila kita pandang ke atas.
Kesannya ialah cahaya akan terbias lagi banyak!
Maka itu, apabila kita melihat Matahari yang rendah dan hampir dengan ufuk pada waktu pagi atau petang itu, itu sebenarnya cahaya Matahari yang sudah terbias oleh atmosfera Bumi.
Kesan atmosfera yang akan membiaskan cahaya Matahari. Sumber.
Hakikatnya, jasad Matahari itu sendiri sedang berada di bawah ufuk!
Di dalam pengiraan efemeris Matahari, biasan cahaya ini akan menyebabkan ‘jasad’ Matahari ini kelihatan 6 minit lebih lama (pada waktu terbenam), serta 6 minit lebih awal (pada waktu terbit).
Faktor ini akan menambahkan lagi waktu siang kita. Maka itu, panjang pada hari Ekuinoks ini lebih daripada 12 jam!
Lagi satu bukti biasan cahaya ini berlaku ialah apabila kita melihat bentuk ‘bulat’ Matahari itu kelihatan penyek apabila ia menghampiri ufuk.
Kesan biasan menyebabkan bentuk Matahari kelihatan penyek. (Sumber)
Serakan cahaya
Kiraan di atas tidak mengambil kira serakan cahaya Matahari SETELAH Matahari terbenam (waktu antara Maghrib dan Isya’), dan juga SEBELUM Matahari terbit (waktu antara Subuh dan Syuruk). Jika kita mengambil kira waktu-waktu ini sebagai ‘masih siang’, maka terlebih-lebih lah lagi waktu siang ketika Ekuinoks ini jauh lebih lama berbanding 12 jam!
Timur Barat
Selain itu, hari Ekuinoks ini juga peluang untuk kita mencari titik tepat Timur dan Barat.
Waktu terbaik ialah ketika Matahari sedang terbit dan terbenam.
Boleh cuba guna aplikasi web di suncalc.org ini untuk melihat poin di mana timur/barat dari kawasan anda.
Pergerakan Matahari melintasi langit dari kawasan Kuala Lumpur pada hari Ekuinoks ini. Sumber
Imej satelit
Saya suka melihat imej yang dihasilkan oleh Windy.com yang mana jelas ini menunjukkan pergerakan sempadan siang/malam kita pada hari ini tepat tegak dari atas ke bawah (utara/selatan).
Di laman web timeanddate.com ia memaparkan sempadan siang malam seperti di bawah.
Semoga artikel ringkas ini dapat menjawab sedikit sebanyak persoalan mengenai hari Ekuinoks.
Komet C/2018 W2 (Africano) yang dirakam oleh sifu astrofotografer, Rolando Ligustri pada 22 Sep 2019 lepas. Sumber
Rezeki. Setelah suasana langit di Malaysia secara perlahan-lahan semakin pulih daripada asap tebal jerebu, kini peminat astronomi berpeluang menyaksikan sebuah komet yang ‘agak terang’ melintasi langit kita.
Komet bernama C/2018 W2 (Africano), lepas ni saya tulis Komet Africano je la.. kini sedang bersinar pada magnitud 8.6
Pada tahap kecerahan ini, ia dijangka boleh dilihat menerusi binokular atau teleskop. Malangnya ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Apa pun, jika ada kamera, InsyaAllah anda boleh cuba merakam… dengan syarat tahu mana nak hala kamera tu!
Sejarah sikit…
Komet Africano ditemui secara hampir serentak oleh 2 ahli astronomer pada 27 Nov 2018 lepas. B.M. Africano menemuinya dengan menggunakan teleskop 1.5 meter Mount Lemmon, sementara H.Groeller menemui menggunakana teleskop 0.68 meter di Catalina Sky Survey.
B.M. Africano dapat nama sebab dia melaporkan penemuan ini 21 minit lebih awal daripada Groeller.
Komet ini akan melintasi Bumi pada jarak hanya 74 juta km sahaja daripada Bumi, pada 27 Sep 2019 6:56 pm waktu Malaysia.
Sebagai perbandingan, jarak purata Bumi ke Bulan ialah 384,400 km. Maknanya komet ini berada 192 kali lebih jauh dari Bulan. Jauh la tu.
Laman web astro.vanbuitenen.nl ada menyediakan satu peta interaktif kedudukan komet ini. Boleh lihat jarak hakikinya dari Bumi.
Ketika ini Komet Africano bergerak amat pantas di langit dengan kadar sekitar 3 2/3 darjah sehari. Pada kadar ini, ia akan bergerak selebar saiz diameter Bulan di langit dalam masa 3 1/4 jam sahaja!
Laju la tu!
Lokasi di langit
Komet ini sedang melintasi langit utara kita, bergerak di dalam kawasan buruj Pegasus, Pisces dan masuk ke Aquarius.
Peta di bawah menunjukkan pergerakan komet ini pada jam 11 malam waltu Malaysia setiap malam bermula 24 Sep hingga 10 Oktober 2019.
Ketika artikel ini ditulis, Bulan sudah pun mengecil dan terbit lewat pagi. Maka itu, cahayanya tidak akan mengganggu cerapan komet ini. Peluang amat baik kerana langit akan gelap.
Pandangan ke arah timur. Kiraan Skychart
Pandangan lebih dekat di lokasi yang sama seperti peta sebelum ini. Kiraan Skychart.
Laman web Comet Observation Database (COBS) melaporkan cerapan yang dibuat oleh ahli astronomer amatur dan profesional seluruh dunia menunjukkan kecerahan komet ini berada di dalam lingkungan magnitud 8.
Graf kecerahan Komet Africano di laman web COBS. Sumber.
Lintasan menarik
Berdasarkan pemerhatian menerusi aplikasi Sky Safari Pro, didapati Komet Africano akan melintasi beberapa objek menarik.
Melintas Neptune pada 5 Oktober 2019
Komet ini akan melintasi sekitar 1.5 darjah dari planet Neptune pada malam 5 Oktober 2019. Pada jarak ini, kedua-duanya boleh dilihat di dalam binokular secara serentak.
Konjungsi Neptune dan Komet Africano pada 11 malam, 5 Oktober 2019. Simulasi Sky Safari.
Melintasi Nebula Helix pada 11 Oktober 2019
Ia akan melintasi Nebula Helix pada jarak kurang 1/2 darjah pada malam 11 Oktober 2019.
Konjungsi Komet Africano dan Nebula Helix pada 11 malam , 11 Okt 2019. Simulasi Sky Safari.
Foto-foto Komet Africano
Saya sendiri belum berpeluang mencerap dan merakam komet ini. Namun di luar sana sudah ramai yang berjaya merakamnya. Di bawah merupakan di antara foto-foto menarik menerusi twitter.
Ada banyak lagi. Klik Sini untuk capaian imej yang lain.
Lepas ni?
Komet Africano sebenarnya telah pun melepasi perihelion (poin paling dekat dengan Matahari) pada 5 September 2019 lepas. Namun disebabkan orbitnya mengikut trajektori hiperbola, ia tidak akan kembali bergerak ke arah Matahari selama-lamanya. Melainkan ia menerima pengaruh graviti daripada objek-objek lain yang berada nun jauh di belakang sistem suria kita.
Oleh itu, jom jangan lepaskan peluang melihat pelawat jauh kita ni.
Sudah seminggu berlalunya fenomena Gerhana Matahari Cincin yang menjadi tarikan hampir keseluruhan rakyat Malaysia dan juga negara-negara yang turut mengalaminya.
Berdasarkan liputan berita yang begitu banyak, boleh dikatakan kejadian alam ini berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ilmu astronomi serta pergerakan objek-objek di alam semesta. Lebih-lebih lagi kali terakhir Gerhana Matahari Cincin berlaku di Malaysia ialah pada tahun 1998.
Saya pula mengambil keputusan untuk mencerap fenomena ini dari negara Oman. Di antara faktor utama ialah untuk merakam momen gerhana ketika sudut Matahari yang masih rendah serta cuaca yang elok. (Ok..bab cuaca ini memang susah nak ramal kerana kondisi hari gerhana di sana di luar jangkaan…tapi itu nanti saya cerita lain!)
Bagi meraikan ribuan foto-foto serta video yang dikongsikan di media sosial, suka saya abadikan beberapa foto yang menarik menerusi artikel ini. Memang semua foto yang dikongsi menerusi Page FalakOnline ini unik-unik belaka dan setiap satunya amat istimewa!
Paling mengujakan foto-foto ini dirakam oleh kita-kita orang yang biasa-biasa je!!
Saya sarankan anda melungsuri ruangan komennya untuk melihatnya satu per satu. Tahniah semua!
Fitri Karim merakam foto di atas dari Gelang Patah menggunakan Huwaei Mate 20 dan kacamata gerhana matahari. Jelas kelihatan bentuk sabit Matahari walaupun di-zoom.
Nurul ‘Izzah Zulkifli pula merakam foto di atas menerusi teleskop National Geographic berserta dengan penapis. Menurut beliau keadaan yang berawan dan diselang-seli langit cerah begitu mencabar sekali.
Amani Hasan dari Batu Caves, Selangor pula menggunakan kamera Nikon dan segala macam filter yang ada, daripada ND filter, UV filter, awan filter.. sampai patah-patah pemegang kamera! Nasib baik tak guna water filter! hihihi…
Lokasi yang berawan juga ada kelebihannya. Silau cahaya matahari yang tidak begitu terang membolehkan rakaman menerusi kamera dibuat tanpa sebarang penapis… bak kata orang… ada natural filter… iaitu awan! Cuba lihat foto-foto unik gerhana dan awan di bawah ini…
Foto oleh Zila Don yang di-forward oleh Arif San ini berjaya merakam momen unik seekor burung melintasi berhampiran Matahari. Rakaman ini dibuat menggunakan iphone 7 plus. Terbaik!
Menerusi teleskop, rupa bentuk gerhana akan menjadi lebih jelas. Bentuk sabitnya lebih jitu dan tajam. Rakaman yang dibuat menggunakan kamera DSLR pun akan mendapat hasil yang baik. Kita lihat antara foto kombo DSLR-teleskop yang dikongsi…
Akf Aning merakam fasa lengkap keseluruhan gerhana daripada awal hingga akhir, termasuklah momen cincinnya menerusi lens SEL24240 dan penapis matahari. Gigih tu!!
Muhammad Huggy Bear Masrezadari Masjid Perpat Timbul di Tg Piai berkongsi foto fasa cincin yang amat jitu dan jelas sekali. Katanya ia dirakam menggunakan teleskop jenama Celestron dan kamera Nikon D7000
Cuba perhatikan disebabkan lokasi Tg Piai bukalah tepat di tengah-tengah lintasan Bulan, maka bentuk cincinnya tak simetri.
Kadangkala apa yang dirancang tak menjadi. Paling suspen apabila saiz filter yang dipasang tak ikut saiz lens yang digunakan. Ketika ini segala macam idea kreatif mula muncul!
Pengalaman As Alias ialah beliau terpaksa menggunakan tangan untuk menutup bahagian depan lens supaya cahaya Matahari dapat dikurangkan!
Ok la tu, saya pun guna cara yang sama semasa di Oman hari! hihihi…
Merakam menerusi DSLR juga ada kelebihannya kerana ia boleh disambung ke komputer dan dipaparkan menerusi skrin yang lebih besar dan selesa.
Epan Faisal berkongsi setup beliau dari lokasi Tanjung Piai. Saiz besar Matahari yang dirakam ini adalah disebabkan teleskop yang digunakannya, Schidmt-Cassegrain, mempunyai jarak fokus (F) yang panjang dan imejnya akan lebih besar.
Selain objek Matahari/Bulan itu sendiri, ramai juga mengambil peluang merakam imej Matahari yang terhasil daripada celah-celah lubang kecil, seperti topi, daun-daun pokok dan seumpamanya.
Cikgu Zaim dari MRSM Kubang Pasu yang pada awalnya merancang nak ke Tanjung Piai tetapi terpaksa tukar rancangan, telah melakukan aktiviti setempat dengan mengajar anak-anak di kawasan perumahan beliau membina kamera lubang pin. Terbaik usaha ini Cikgu!
Ck Aziz dari Kuala Terengganu merakam imej lubang pin Gerhana Matahari menerusi lubang paku atap yang tengah dibina. Baik-baik bang…terbakar tangan tu!
Muhammad Zubair Mustapha merakam ratusan imej Matahari yang terhasil daripada celah-celah daun pokok. Saya suka foto seperti ini kerana secara peribadi kali terakhir saya sendiri melihat imej ini dengan jelas ialah pada tahun 2006 dulu! Great shot!
Are Pex May pun turut kongsi foto comel imej Matahari dibawah dedaun pokok.
Nazihah Shariff berkongsi foto imej Matahari menggunakan satu benda bulat yang …. saya sendiri tak pasti.. apo ko bondo tu….ce citer sikit..
Maksu Balkhair merakam imej itu daripada celah-celah daun.. dan rasanya yang lagi satu tu tudung saji kot.
Azian Khalil merakam hasil lubang-lubang kecil sampul surat! Layan!!
Selain daripada itu, banyak juga video yang turut dikongsi. Antaranya adalah seperti di bawah…
Ada banyak lagi video format facebook yang telah dikongsi tapi saya tak dapat nak embed masuk ke dalam artikel. Tak pasti kenapa jadi macamtu! Minta maaf banyak-banyak!
Fenomena yang jarang berlaku di Malaysia ini pun sepatutnya dikongsi bersama dengan seramai orang yang boleh. Tahniah kepada Epan Faisal dan rakan memberi peluang kepada Abam Polis ini menyaksikan juga kejadian menakjubkan ini. Terbaik!
Terima kasih kepada semua yang berkongsi gambar. Tak mampu saya nak copy paste semua di sini, tetapi InsyaAllah sumbangan anda amat-amat saya hargai.
Jika anda lihat foto-foto lain serta video yang tak dapat nak di-link dalam artikel ini, bolehlah ke 2 pos FalakOnline di bawah dan lihat ruangan komennya.
InsyaAllah selepas ini, saya cuba siapkan sedikit catatan travelog cerapan saya di Oman pula.
Dan juga jangan lupa, SEKALI LAGI kita berpelunga menyaksikan GERHANA MATAHARI SEPARA pada 21 Jun 2020 nanti! Jangan buang cermin mata matahari atau penapis matahari tu lagi!
Bagi peminat meteor, jangan lepaskan peluang melihat musim meteor pertama untuk tahun ini, iaitu Meteor Quadrantids. Meteor ini adalah di antara juraian meteor yang sangat aktif, namun ruang masa untuk kita lihatnya banyak dan aktif di langit agak terhad.
International Meteor Organization (IMO) melaporkan, ruang waktu Quadrantids memuncak ialah dalam masa 6 jam sahaja. Oleh itu, jika ruang 6 jam itu berlaku pada waktu malam, peminat astronomi di kawasan itu akan berpeluang melihat sehingga 100 meteor sejam!
Mengapa ruang optimum ia memuncak hanya 6 jam sahaja? Ini adalah kerana lebar laluan habuk-habuk meteoroid Quadrantids ini amat nipis dan sudut lintasannya dengan Bumi hampir bersudut tegak dengan satah orbit Bumi. Adalah dipercayai juga Quadrantids ini berasal daripada sebuah asteroid dan bukannya komet (seperti mana kebanyakan meteoroid-meteroid lain). Asteroid asalnya ialah 2003 EH1, sebuah asteroid kecil yang mengorbit Matahari setiap 5.52 tahun.
(Ada sedikit ralat dalam Almanak Astronomi 2020 yang mana sebelum ini saya menulis 12:20 pm. Saya dah perbetulkan menjadi 4:20 pm. Harap maklum)
Apa peluang kenampakan Meteor Quadrantids kita di Malaysia?
Waktu
Waktu puncakknya akan berlaku pada jam 4:20 pm waktu Malaysia. Disebabkan julat waktu ia memuncak ialah selama 6 jam, maka kita boleh katakan ia bermula antara jam 1:20 PM hingga 7:20 PM pada 4 Januari 2020. Ini bermakna waktu puncaknya berlaku pada waktu SIANG di Malaysia!
Jika kita nak tengok juga pada waktu malam, bolehlah cuba bermula tengah malam nanti (masuk Sabtu 4 Jan) hingga ke Subuh, ataupun tengah malam esok (masuk Ahad 5 Jan) hingga ke Subuh hari Ahad. Malangnya kedua-dua waktu peluang kita nak melihat meteor ini amat jauh (selang 12 jam) dengan waktu puncak sebenarnya.
(Sila rujuk artikel-artikel sebelum ini mengenai panduan mencerap meteor. Caranya sama sahaja untuk semua jenis juraian meteor yang muncul)
Meteor ini akan muncul dari kawasan buruj Bootes dan Ursa Major (atau dikenali di sini sebagai Biduk). Namun kita kena ingat meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana kawasan langit dan tak semestinya pada titik ia muncul itu.
Rajah di atas menunjukkan kawasan langit di mana Meteor Quadrantids seolah-olah muncul. Harus diingat ini hanya rajah panduan sahaja dan bukannya seperti yang kita akan dapat lihat di langit!
Bulan
Bulan semakin membesar menuju ke fasa purnama. Pada malam nanti, ia akan terbenam sekitar 1 pagi (12 tengah malam di Sabah), manakala esoknya akan terbenam 1:40 pagi (12:40 am di Sabah). Jika anda nak mencuba nasib dan melakukan cerapan, buatlah selepas terbenamnya Bulan.
Kesimpulan
Maka berdasarkan faktor-faktor di atas, peluang untuk kita di Malaysia serta negara-negara berhampiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina, untuk melihat meteor Quadrantids adalah amat tipis.
Namun begitu tidak salah kita mencuba. Lagipun ia berlaku pada hujung minggu, maka tak adalah kalut nak pergi kerja atau ke sekolah keesokannya!
(Satu lagi nasihat yang ingin saya kongsikan ialah, ada beberapa laman web yang amat gemar memetik tajuk sensasi yang mengenai kenampakan meteor yang banyak tanpa mengambil kira faktor dan situasi langit di Malaysia. Laman-laman web ini sekadar menyalin apa yang ditulis di laman web luar negara, yang mana mungkin artikel itu sesuai untuk negara mereka tetapi timing-nya tak sesuai dengan kita. InsyaAllah kalau anda perhatikan selama ini menerusi artikel FalakOnline saya sering tumpukan kenampakan berdasarkan langit kita di sini, dan kadangkala tajuknya agak ‘mengecewakan orang’ tetapi saya rasa terpanggil untuk memaklumkan maklumat setepat yang mungkin dan tidak memberi harapan palsu). Wallahua’lam